.
Maksud Kamera DSLR
1) DSLR adalah singkatan kepada Digital Single Lens Reflex. Setiap Kamera DSLR akan membolehkan pengguna memerhati objek foto yang mahu dirakam melalui lubang yang sama dengan sensor perakam objek foto tersebut.
2) Satu alat yang dipanggil reflektor berperanan mengalihkan laluan cahaya sama ada menuju ke arah mata pengguna atau ke arah sensor perakam. Gambar di bawah menunjukkan reflektor (ditandakan no. 2)
3) Dalam gambar di atas, reflektor berada di dalam kedudukan yang memantulkan cahaya ke atas dan akhirnya keluar melalui laluan yang dipanggil viewfinder (ditandakan no.5). Kedudukan ini memberi peluang kepada pengguna untuk memerhati objek foto dan membuat persediaan untuk merakam objek foto.
4) Dalam gambar di bawah, reflektor berada di dalam kedudukan yang membenarkan cahaya bergerak terus ke arah sensor kamera. Kedudukan ini mengakibatkan sensor terdedah kepada cahaya dan merakam objek foto.
5) Kaedah mekanikal di atas merupakan perbezaan utama di antara Kamera DSLR dengan Kamera jenis “point and shoot” atau Kamera jenis “mirrorless camera”.
6) Di samping itu Kamera DSLR juga dilengkapi dengan ciri-ciri kawalan tambahan terutamanya kawalan Aperture, Shutter dan ISO. Ketiga-tiga kawalan ini saling berkaitan dan gabungan ini dipanggil Exposure Triangle.
7) Ciri-ciri Kamera DSLR akan memberikan kelebihan berikut kepada pengguna:
7.1) Pengguna mendapat gambaran yang tepat tentang objek foto yang mahu dirakam kerana melihat melalui lubang lensa yang akan digunakan oleh sensor kamera.
7.2) Pengguna boleh menukar lensa kamera yang sesuai dengan keperluan mengambil objek foto dalam jarak dan skala pembesaran yang dikehendaki.
7.3) Sensor kamera DSLR mempunyai keupayaan yang lebih tinggi berbanding kamera biasa.
7.4) Kamera DSLR berupaya merakam gambar dalam pelbagai keadaan cahaya atau kepantasan objek foto.
8) Tidak semua orang memerlukan Kamera DSLR. Kamera DSLR biasanya menjadi pilihan jurufoto profesional atau hobi kerana mereka mementingkan foto bermutu tinggi untuk tujuan komersil, rujukan atau koleksi.
LATIHAN:
1) Apakah jenis kamera DSLR anda?
2) Apakah kelebihan dan kelemahannya?
3) Adakah anda telah gunakan semua fungsi yang ada?
.
0 Comments