About Me

header ads

[Aktivis] Medium Online Bukan Lagi Pilihan, Ia Adalah Tuntutan!


.

MAKSUD AKTIVIS ONLINE


Aktivis bermaksud seseorang yang berusaha untuk membawa perubahan dalam masyarakat baik dari segi sosial, politik, ekonomi, mahupun alam sekitar. Kegiatan aktivis terdiri daripada pelbagai bentuk seperti 1) memperolehi mandat dengan cara penulisan, petisyen, kempen pilihanraya, boikot atau 2) menunjuk perasaan seperti perhimpunan, perarakan dan mogok.

Kebiasaannya seorang Aktivis Sosial bermula dengan terlibat di dalam Khidmat Sosial. Khidmat Sosial bermaksud menyediakan khidmat kepada masyarakat dengan tujuan memperbaiki atau meningkatkan mutu kehidupan masyarakat. Bagaimanapun, Khidmat Sosial ini terhad kepada kemampuan seseorang atau sesebuah organisasi itu bergerak. Jika individu atau organisasi ini merasakan perjuangan mereka penting untuk negara dan rakyat seluruhnya, mereka akan berkesudahan dengan menjadi Aktivis Sosial. Dalam kata lain, mereka mengajak masyarakat untuk turut sama menyokong dan menjayakan usaha mereka.

Aktivis Online bermaksud seseorang yang menggunakan medium jaringan komunikasi elektronik untuk menyampaikan mesej aktivisme yang diperjuangkannya. Medium elektronik mempunyai beberapa kelebihan iaitu:
1. Ia mudah dilaksanakan.
2. Sebarannya pantas dan meluas.
3. Ia mempunyai pelbagai aplikasi sokongan seperti pengurusan kandungan dan gerbang pembayaran.

KAITAN AKTIVIS ONLINE DAN TUNTUTAN AGAMA


Aktivis Online, sepertimana aktivis konvensional, adalah selari dengan tuntutan agama.

Firman Allah:

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ ۗ وَلَوْ اٰمَنَ اَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ ۗ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُوْنَ وَاَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُوْنَ

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
[Ali Imran:110]

Sabda Nabi SAW:
 “Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.” (Hadis riwayat Muslim)

Agama Islam menganjurkan Umat Islam bermasyarakat dan berusaha membawa masyarakat kepada kebaikan di samping mencegah kemungkaran.

Medium online adalah kaedah yang mudah untuk menjayakan anjuran Agama ini. Sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian menjadi aktivis online mengikut kadar kemampuannya.

Dalam masa yang sama, anasir-anasir yang tidak sehaluan dengan ajaran Agama juga turut giat menjadi Aktivis Online. Maka, Umat Islam bertanggungjawab membendung kegiatan mereka dengan berusaha menjuarai kegiatan Aktivis Online, memberi penerangan sebaik mungkin tentang kemudharatan anasir-anasir ini kepada masyarakat serta menawarkan penyelesaian yang lebih baik menurut perspektif Agama.

Justeru, menjadi Aktivis Online kini bukan lagi pilihan, malah ia adalah tuntutan!

BENTUK MEDIUM ONLINE YANG WAJAR DICEBURI


Menyedari kepentingan medium online, Umat Islam, tidak kira umur atau jantina, wajar berusaha mengenali medium-medium berikut:
1. Email
2. WhatsApp
3. Telegram
4. Facebook
5. Twitter
6. Instagram

Gunakan Smartfon dengan seoptimum mungkin.

Rancang masa penggunaan Smartfon dengan berhemah iaitu manfaatkan peluang berinteraksi dengan pengguna online yang lain tetapi pada masa yang sama waspada dengan pembaziran masa jika tidak diurus dengan sebaiknya.

Dalam artikel yang seterusnya, kami akan kupas bagaimana menggunakan medium di atas dengan cara yang optimum.

.

Post a Comment

0 Comments