About Me

header ads

[Aktivis] Rancang Kempen Pasukan Dengan Berkesan

Mengajak masyarakat untuk menyokong dan menyertai sesuatu perkara yang kita usahakan bukanlah mudah. Rancang sumber anda dengan sebaiknya.
.

Rancang Kempen Pasukan Dengan Berkesan

Organisasi NGO kebiasaannya ditubuhkan untuk memperjuangkan sesuatu tujuan.Yayasan Isra' Malaysia (YIM), contohnya, memperjuangkan slogan BARAKAH MOTIF KEHIDUPAN. Dalam perjuangannya ini YIM mengajak masyarakat untuk menyokong dan menyertai program-program yang dianjurkannya.

Mengajak masyarakat untuk menyokong dan menyertai sesuatu perkara yang kita usahakan bukanlah mudah. Aktivis NGO selalunya terpaksa menghabiskan banyak masa, tenaga dan wang ringgit dalam menjayakan program mereka. Oleh yang demikian, mereka haruslah bijak membuat perancangan agar program yang dijalankan benar-benar mencapai matlamat dan memenuhi aspirasi mereka.

Perancangan haruslah dimulakan dengan mengenalpasti peranan penting yang perlu dimainkan oleh  setiap anggota dalam sesuatu kempen.

1. PENCETUS

Pencetus bermaksud peranan untuk mencetuskan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menyertai program contohnya Program Qurban & Aqiqah. Si Pencetus akan menyenaraikan beberapa poin penting yang akan disampaikan kepada masyarakat supaya mereka akhirnya sedar tentang manfaat program Qurban & Aqiqah ini dan akhirnya menyertai program tersebut.

Persaingan kempen pada hari ini hakikatnya sangatlah sengit. Terdapat berpuluh, malah mungkin beratus program Aqiqah & Qurban di seluruh negara. Si Pencetus harus berfikir bagaimana mencipta kempen yang boleh menghasilkan impak tinggi berbanding kempen dari pihak lain. Untuk itu, beliau terlebih dahulu perlu memahami senario masyarakatnya supaya poin yang akan diketengahkannya nanti berjaya membuka hati mereka untuk menyokong dan menyertainya.

2. PENGOLAH

Masyarakat kita pada hari ini adalah masyarakat yang rencam; terdapat pelbagai bangsa, bahasa, budaya, umur dan faktor2 demografi lain yang boleh menjadi penghalang dalam proses komunikasi kempen. Walaupun seseorang Pencetus itu sudah menemukan poin penting yang dirasakan boleh memikat hati kumpulan sasaran, poin-poin penting ini perlu diolah dalam bentuk persembahan yang tepat mengenai "citarasa" atau "tumpuan" kumpulan sasaran.

Sebagai contohnya, golongan muda mungkin akan tertarik kepada gaya bahasa yang berbeza dari golongan tua. Demikian juga, kaum lelaki mungkin tertarik kepada aspek kempen yang berbeza dari kaum wanita. Selanjutnya pemilihan warna dan kombinasinya juga boleh menimbulkan kesan berbeza pada pandangan manusia.

Menyedari perbezaan yang wujud berkaitan "citarasa" dan "tumpuan" ini, maka poin-poin kempen yang telah dirumus oleh Pencetus tadi perlu diproses seterusnya oleh si Pengolah. Beliau adalah seorang yang mempunyai kemahiran seperti kemahiran penulisan, grafik, suntingan audio video dan sebagainya.

Hal olahan ini adakalanya dipandang remeh sehingga ada yang menggelarnya sebagai "kosmetik" iaitu solekan yang mungkin membazirkan kos masa, tenaga dan wang ringgit. Namun demikian, jika kempen tidak diolah dengan baik, ia mungkin berkesudahan dengan kegagalan. Ingat, persaingan pada hari ini adalah sengit. Sepertimana disebutkan sebelum ini, program penganjuran ibadah Qurban & Aqiqah inipun barangkali mempunyai berpuluh malah mungkin beratus saingannya di luar sana. Mahu tidak mahu, olahan perlu dilakukan bagi menyerlahkan poin-poin yang telah dicetuskan.

3. PENGHUBUNG

Bahan kempen yang telah diolah seterusnya perlu dibawa tepat kepada kumpulan sasaran. Bagi memastikan hal ini berlaku, peranan Penghubung diperlukan di sini. Penghubung adalah mereka yang sudah biasa berinteraksi dengan kumpulan sasaran. Mereka tahu kaedah yang terbaik untuk memperkenalkan bahan kempen kepada kumpulan sasaran. Mereka juga mempunyai kemahiran memujuk kumpulan ini untuk menerima dan akhirnya menyertai mesej kempen.

4. PEMANTAU

Sesebuah kempen yang dilancarkan perlu diukur kejayaannya dan dikaji kekuatan atau kelemahannya. Hal ini penting bagi memastikan segala sumber yang digunakan sebagai input bagi proses menggerakkan kempen ini benar-benar dioptimumkan untuk mencapai impak yang diharapkan. Seorang Pemantau akan memerhati tindakbalas masyarakat terhadap kempen dan membuat beberapa rumusan yang akan diberikan kepada Pencetus, Pengolah dan Penghubung. Peranan beliau sangat berguna terutamanya untuk mengenalpasti ruang penambahbaikan bagi sesuatu kempen supaya tidak gagal.

5. PENAMPAN

Lumrahnya, bagi setiap kempen yang diusahakan, akan ada tindakbalas positif atau negatif daripada anggota masyarakat. Program yang difikirkan baik seperti Aqiqah & Qurban mungkin dianggap tidak baik oleh golongan tertentu seperti gerakan yang menentang kegiatan penyembelihan untuk tujuan agama. Bagi memelihara kempen ini agar tidak terkesan dari tentangan yang mungkin muncul di pertegahan jalannya, Penampan akan memainkan peranannya di sini. Seseorang Penampan perlu melihat potensi risiko yang berlaku dan memikirkan bagaimana menghadapi risiko ini. Contohnya, jika gerakan yang menentang penyembelihan binatang ini muncul ketika kempen Aqiqah & Qurban sedang giat dijalankan, apakah tindakan yang perlu diambil untuk memastikan kempen ini terpelihara dari kegagalan? Penampan perlu menyediakan beberapa rancangan susulan yang boleh diambil apabila situasi yang tidak diingini itu berlaku.

Demikian tadi sedikit perkongsian tentang bagaimana sesebuah NGO boleh menyusun peranan anggotanya agar mereka dapat bekerjasama dengan baik dalam satu pasukan dan akhirnya berjaya mencapai tujuan yang dihasratkan oleh badan NGO terbabit.

Semoga pembaca mendapat manfaat dari perkongsian ini.

.

Post a Comment

1 Comments