About Me

header ads

Penguasaan ilmu sains dan teknologi: Melayu sudah buktikan !


Ilmu sains dan teknologi sering dikatkan dengan lambang kemajuan sesuatu bangsa dan tamadun. Jika sesuatu kaum itu menguasai sains dan teknologi, maka ianya akan diiktiraf sebagai satu tamadun atau bangsa yang maju.

Kaum Melayu seringkali dikatakan ketinggalan serta mundur dalam sains dan teknologi. Ukuran ini dibuat berdasarkan kelemahan  menguasai bahasa ilmu moden sekarang, iaitu Bahasa Inggeris oleh  Melayu . Pelbagai pendapat dilontarkan bagi menyokong dan menentang kenyataan ini. 

Baru- baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan telah mengumumkan bahawa pembelajaran sains dan matematik akan dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris. Langkah ini, tegas beliau kerana kerisauan terhadap penguasaan sains rakyat Malaysia (majoritinya Melayu) amat lemah. 

Awal tahun 2020, Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan umum untuk l
aksanakan PPSMI disekolah- sekolah

Suatu yang kita semua mungkin tidak sedar atau terlepas pandang bahawa pada hakikatnya Melayu sudah lama menguasai sains dan teknologi, semenjak awal kurun pertama lagi. Pelbagai bukti ditunjukkan kepada kita, namun ianya hanyalah dipandang enteng oleh sesetengah pihak. 

Penguasaan Melayu dalam sains dan teknologi dapat dilihat melalui beberapa bukti arkaeologi dan juga sejarah. Dalam bidang peleburan besi dan pembuatan bahan berasaskan besi, ianya berlaku seawal kurun ke 3 hingga 5 sebelum Masihi. 

Fakta ini disokong melalui penemuan tapak arkaeologi, tempat peleburan bijih besi di Sungai Batu, Kedah oleh pengkaji dari Pusat Penyelidikan Arkaeologi Global, Universiti Sains Malaysia pada tahun 2007.


Sebahagian jumpaan seperti relau (atas kiri), tuyere dan bijih besi di tapak arkaeologi
Sungai Batu, Kedah merupakan bukti Melayu sudah menguasai teknologi peleburan bijih besi
seawal kurun ke 3 Sebelum Masihi

Didalam catitan Al-Kindi dan Al- Biruni, tercatit bahawa tapak peleburan Sungai Batu yang dikenali sebagai Kalah (Kedah Tua) ketika itu, merupakan antara tiga pengeluar bijih besi besi terbaik di dunia selain dari Yemen dan Hindi. Besi dari Kalah ini dikenali sebagai besi hitam dan bermutu tinggi yang didagangkan sehingga ke India.

Penemuan seperti relau, bijih besi, pemangkin ataupun fluk (dikenali sebagai  flux dalam bahasa inggeris) dari cengkerang atau siput, alat batu dan alat besi serta beberapa peralatan membuktikan bahawa alam Melayu telah pun mampu meleburkan bijih besinya sendiri pada suhu yang amat tinggi.

Teknik peleburan besi yang dijalankan dengan suhu peleburan antara 1150°C hingga 1200°C bersama penggunaan bahan flux membuktikan yang Melayu ketika itu sudah mampu menguasai ilmu peleburan bijih besi. 

Selain dari teknologi peleburan, kemajuan sains didunia Melayu dapat dilihat melalui penghasilan barangan berasaskan logam atau besi seperti keris.

Teknik pembuatan keris ini menyamai teknik yang diguna pakai senjata tradisional lain seperti pedang katana dari Jepun dan juga dan juga pedang Damascus yang dikaitkan dengan pedang pahlawan terkenal Islam, Salahuddin al-Ayubi. 

Berbanding Pedang Katana, keris dibuat dari bahan yang disusun berselang seli, ditempa dan dilipat berulangkali sehingga membentuk struktur yang dikenali sebagai komposit logam berlamina atau laminated metal composite (LMC).


Pembuatan keris di Semenanjung Tanah Melayu bermula seawal kurun ke 13
dan menyamai teknik pembuatan pedang tradisional Jepun, Katana. Ia adalah bukti Melayu 
sudah mampu setanding dengan tamadun lain dari dulu lagi.

Cara pembuatan dan struktur dalaman yag terdapat pada peringkat struktur mikronya dapat meningkatkan kualiti keris, walaupun menggunakan bahan yang terhad dan berkualiti rendah. Struktur LMC ini meningkatkan sifat bahan dalam bilah keris seperti keliatan dengan begitu ketara. 

Kebanyakan keris mempunyai komposisi logam yang sama, iaitu diperbuat dari besi sebagai bahan utama (>95%) dan mempunyai elemen seperti Karbon (C, 2.99%) dan lain- lain elemen yang mempunyai komposisi <1%.  

Bagi pembuat keris tradisional, atau lebih dikenali sebagai empu, mereka akan memasukan logam dari tahi bintang, meteor untuk dicampukan dalam bahan logam keris. Meteor pada asasnya mempunyai kandungan Nikel (Ni) yang tinggi seperti yang telah dijelaskan oleh kebanyakan penyelidik.

Percampurannya dengan besi atau ‘perkahwinan’ antara besi bumi dan langit menurut kepercayaan dan falsafah pembuat keris tradisional akan memberi tuah kepada pemiliknya. Namun, hakikatnya kehadiran Ni yang tinggi didalam keris menurut ilmu sains teknologi moden sebenarnya membantu melambatkan proses pengkaratan besi.

Selain itu, melalui teknik pembuatan keris yang menggunakan penempaan dan lipatan yang berulang kali serta diperbuat daripada lapisan bahan yang berselang-seli, ia akan menghasilkan lapisan yang mempunyai ketebalan dan struktur mikro yang berbeza antara satu sama lain. 

Proses pembuatan keris menghasilkan lapisan yang mempunyai 
ketebalan dan struktur mikro yang berbeza 
antara satu sama lain yang meningkatkan kekuatan keris.

Suatu perkara yang harus diberi perhatian, kepelbagaian ketebalan lapisan ini menghasilkan struktur mikro komposit logam berlapis (berlamina). Struktur ini meningkatkan sifat keris menjadi keras dan kuat. 

Malah, jika diperhatikan dibawah mikroskopi FE-SEM dengan kuasa pembesaran 20 ribu kali, terdapat struktur pearlite berlapis (lamina) pada struktur mikro bilah keris.

Pembentukan ini terhasil dari komposisi karbon dalam bilah keris itu serta kadar penyejukan yang pantas akibat proses lindapkejutan.

Struktur pearlite ini sebenarnya meningkatkan kekerasan dan kekuatan keris kerana sifatnya daripada lapisan lamellarnya. 

Selain itu, hasil kajian mendapati bahawa teknik yang digunakan semasa membuat keris telah menghasilkan pengoksidaan dalaman, silikon oksida (SiO) pada lapisan nipis komposit logam. 

Kehadiran struktur pearlite berlamina dan lapisan pengoksidaan dalaman memberikan kesan pengukuhan berganda kepada keris.

Kepandaian dan penguasaan Melayu dalam ilmu pembuatan bahan berasaskan besi juga dapat dilihat dari perlakuan empu keris yang menyejukkan bilah keris melalui proses pelindapkejutan. 
Proses ini menyebabkan keris mengalami penyejukan pantas yang menyebabkan titik tengah struktur keris mengalami kadar penyejukan yang lebih perlahan berbanding dengan lapisan luar. 

Semakin kedalam, ruang kosong antara struktur bijian (grains)semakin besar setersunya menyebabkan lapisan luar menjadi lebih keras dan berbeza berbanding daripada dalaman. Ini menghasilkan senjata yang ringan namun amat kuat untuk digunakan dalam pertempuran.

Ternyata, banyak lagi kebijaksanaan bangsa Melayu jika hendak disenaraikan disini, namun cukuplah dinyatakan proses pembuatan keris sebagai contoh.

Tidak dapat dinafikan kita masih perlu berusaha keras untuk sentiasa terkehadapan dalam bidang sains dan teknologi. Namun, menafikan sumbangan dan kepandaian kaum Melayu dalam sains dan teknologi menunjukkan bahawa tohmahan dangkal. 

Semoga cakap- cakap seperti melayu pemalas, tidak pandai dalam bidang sains serta hanya maju dengan menggunakan bahasa inggeris akan terhenti dengan bukti- bukti yang dinyatakan oleh penulis. 


Dr. M.Musa
Penyelidik / Konsultan bebas
Sains Bahan & Konservasi Warisan Malaysia 

Post a Comment

0 Comments