.Apa sudah jadi pada generasi remaja masakini?
Dibuli dan Dipaksa Minum Arak Oleh Rakan-rakan
Media hari ini melaporkan dua kes berasingan membabitkan remaja iaitu kes remaja dipaksa minum minuman bercampur arak dan kes remaja cemerlang lari dari rumah kerana tidak mahu pulang ke asrama akibat dibuli rakan-rakannya.
Meskipun kedua-dua kes adalah berasingan, secara umumnya ia berkisar tentang gejala penyakit remaja. Ada di kalangan remaja yang mempunyai dorongan untuk menyakiti rakannya secara fizikal atau mental. Hal ini mungkin berpunca dari perasaan dendam, irihati atau mencari kepuasan dari penderitaan orang lain lalu dijelmakan dalam bentuk kenakalan ke atas rakan-rakannya yang lain.
Menurut seorang Pakar psikologi, Dr Fauziah Hanim Abd Jalal, antara pengaruh utama yang menjadikan pelajar sekolah mempunyai tingkah laku nakal adalah aspek pergaulan rakan sebaya.
Katanya, faktor ekologi itu akan menyebabkan perubahan pemikiran, pembawaan diri dan tingkah laku yang akhirnya mengundang risiko mana-mana individu menjadi pembuli.
"Berdasarkan aspek psikologi, pembuli lazimnya memendam rasa tidak puas hati kerana pernah menjadi mangsa, sekali gus ingin menyalurkan nasib atau amarah itu kepada orang lain.
"Gangguan personaliti ini menyebabkan dia tidak rasa bersalah ketika membuli atau melakukan sebarang kesalahan".
Pensyarah Kanan Program Psikologi Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali, berkata faktor lain yang dikesan menjadi punca penularan gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah kecenderungan untuk meniru aksi yang dipaparkan menerusi media sosial.
Katanya, kesinambungan elemen persekitaran dan teknologi berupaya merangsang keinginan pelajar sekolah untuk terjebak dalam pelbagai aktiviti sosial, termasuk gejala buli.
"Setiap punca kenakalan pelajar sekolah dan akhirnya terjerumus dalam kancah gejala buli mempunyai petanda awal yang berbeza seperti sifat melawan, bengis, menggunakan kata-kata kesat serta dominan.
"Disebabkan faktor makanan mengandungi kuantiti gula dan karbohidrat yang tinggi juga memainkan peranan kerana pelajar akan mempunyai jumlah tenaga berlebihan. Justeru, mereka perlu mencari saluran untuk menyalurkannya.
"Antara tindak balas lazim adalah dengan menyalurkan tenaga berlebihan menerusi kegiatan membuli dan mendera mangsa yang lebih lemah daripada mereka," katanya.
.
Sumber:
- https://www.sinarharian.com.my/article/35514/EDISI/Selangor-KL/Mangsa-buli-Ibu-dakwa-punca-anak-hilang
- https://www.sinarharian.com.my/article/35518/EDISI/Pahang/Pelajar-dakwa-dipaksa-minum-minuman-bercampur-arak
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/314125/buli-angkara-gangguan-personaliti
0 Comments