About Me

header ads

Catatan perjalanan misi dakwah ISRA (Siri 1)


Tidak pernah terfikir oleh penulis untuk menjalankan misi dakwah diluar dari Malaysia. Namun dengan takdir dan aturan Allah, penulis diamanahkan oleh Yayasan Isra Malaysia (ISRA’) untuk mengetuai misi dakwah ke negara Papua New Guinea, sebuah negara yang berkeluasan 462,840 km². Negara Komanwel ini terletak di kepulauan Ocenia, berjiran dengan negara Papua (Wilayah Indonesia) dan berada diutara Australia. Negara yang mempunyai penduduk seramai 8.251 juta serta 851 bahasa dengan bahasa rasminya ialah Inggeris, Tok Pisin dan Hiri Motu [1] begitu terasing bagi penulis sebelum ini, terutamanya berkaitan perkembangam islam disana. Pertemuan antara pengerusi ISRA' dengan saudara muslim dari negara Papua New Guinea iaitu saudara Mohamad yang menceritakan perkembangan islam disana telah memaksa penulis melakukan sedikit carian maklumat berkaitan negara ini. Hasil dari maklumat yang diberikan oleh sdr Mohamad, yang menjadi perantara ISRA' disana, maka  ISRA’ sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan pendidikan, dakwah dan kemanusian, mengambil tanggungjawab untuk membantu komuniiti muslim di Papua New Guinea. ISRA’ telah mengambil keputusan untuk membantu komuniti muslim di Mt Hagen di Papua New Guinea untuk membina pusat dakwah (mengandungi musolla dan rumah imam) serta melakukan ibadah korban sempena Eid Adha 2019.

Setelah hampir dua bulan ISRA' melakukan kempen derma serta mendapatkan sokongan pihak yang berkenaan untuk menyokong misi ini, akhirnya Misi Dakwah & Korban ISRA’ terbang ke Papua New Guinea tiga hari sebelum umat islam menyambut Eid Adha, iaitu pada 8 Ogos 2019. Misi ini yang diketuai oleh penulis turut disertai tiga sahabat yang mewakili Group FB Titian Kasih, Syabab Care. Turut serta dalam misi ini ialah wartawan akhbar tempatan yang turut berminat membuat liputan tentang misi ini. Perjalanan misi ini bermula dari KLIA ke Lapangan Terbang Port Moresby sebelum meneruskan misi ke Mt Hagen, lokasi dimana ISRA’ akan menyampaikan sumbangan wang untuk pembinaan pusat dakwah serta melakukan ibadah korban bersama masyarakat muslim tempatan. Dua lokasi telah dikenal pasti di Mt Hagen untuk ISRA' melakukan ibdah korban, iaitu di perkampungan Wimbika dan Tomba Gland. Sebanyak dua ekor lembu dan dua ekor kambing akan ditumbangkan di lokasi ini. Selain itu, delegasi misi ini juga akan memberi sumbangan al quran terjemahan inggeris, bahan- bahan dakwah untuk aktiviti dakwah jalanan. Untuk memastikan dakwah Islam ini sampai ke setiap tempat di Mt. Hagen ini,  sebuah motosikal disumbangkan oleh Syabab Care bagi tujuan program outreach dakwah kepada sdr Mohamad.

Penulis (empat dari kanan) bergambar di KLIA bersama peserta Misi Dakwah
dan Qurban care 4 Ummah  Papua New Guinea sebelum berlepas

Setelah mengharungi perjalanan sejauh 6300 km yang mengambil masa 15 jam,(3 jam transit di Manila), maka delegasi kami tiba di lapangan terbang Port Moresby pada pukul 8 pagi waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia). Segala urusan imigresen dan bagasi berjalan  lancar, hasil bantuan yang dihulurkan oleh Encik Mohd Rezza Mohd Yusof, Setiausaha ke 3 dan pegawai di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Papua New Guinea. 


Kunjungan hormat delegasi ISRA' ke kediaman
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea,
        Tuan Mohamad Nasri Bin Abdul Rahman     

                           
Kami kemudiannya membuat kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Tuan Mohamad Nasri Abdul Rahman. Beliau sangat teruja dan gembira ketika menerima rombongan ISRA', NGO Malaysia yang pertama yang melakukan misi dakwah dan korban di sini. Kehadiran kami ke kediaman beliau disambut dengan sarapan juadah ala Malaysia, menyebabkan kami semua tersa seolah- olah masih lagi berada di Malaysia. Pelbagai maklumat berkenaan perkembangan islam di negara Papua New Guinea dikongsi bersama oleh Tuan Nasri dengan kami. Dimaklumkan, tiada angka yang tepat yang diperolehi berkenaan dengan jumlah muslim masyarakat Papua di negara ini, namun difahamkan sekitar 1000 orang rakyat tempatan yang tinggal di Port Moresby dan 300 orang yang tinggal di Mt Hagen telah memeluk Islam. 
Sebenarnya, penglibatan oleh Malaysia dalam perkembangan Islam di papua New Guinea telah bermula semenjak tahun 1982 melalui Tun Dr M, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Beliau meminta kerajaan negara ini mengiktiraf serta membenarkan Islam diamalkan secara rasmi oleh penduduk tempatan. Bertitik tolak dari situ maka sedikit demi sedikit Islam mula diterima dan berkembang di negara ini. Hasilnya sekitar tahun 2000, masyarakat muslim Papua New Guinea melalui kesatuan Komuniti Islamnya dibantu sumbangan masyarakat muslim dari luar telah berjaya membina satu- satunya masjid di Port Moresby yang dikenali sebagai Masjid Hohola [2].

Ahli kumpulan Misi Dakwah & Korban Papua New Guinea
bergambar kenangan bersama tentera Malaysia yang berada
di Papua New Guinea atas urusan kerja

Dimasjid ini pada setiap minggu, penduduk muslim tempatan yang tinggal di sekitar Port Moresby akan datang untuk solat jumaat bersama dengan muslim yang datang dari pelbagai negara seperti Malaysia, Indonesia, Nigeria dan Bangladesh. Saudara muslim dari luar Papua New Guinea ini datang  bekerja datang sebagai ekspatriat atau sebagai ahli perniagaan mengambil peluang bertemu dan bertanya khabar antara satu sama lain. Disinilah mereka melepaskan rasa rindu pada negara mereka setelah sebahagiannya meninggalkan negara masing- masing  lebih dari 3 tahun. 

Penulis bersama dengan penduduk tempatan, Khalid Apai yang difahamkan
menjadi Muslim terawal di Port Moresby, 

Kami juga dapat merasai suasana serta menyaksikan para penduduk muslim tempatan melakukan aktiviti perniagaan disini. Mereka akan membawa hasil pertanian mereka dari tempat seperti Buswara untuk dijual disini. Jualan sayuran dan buah- buahan ini merupakan mata pencarian mereka  bagi menampung kehidupan di bandar yang serba mahal. Penulis tidak dapat bayangkan bagaimana penduduk di sini menjalani kehidupan mereka dengan keadaan harga barang yang mahal, serta gaji yang sangat rendah. Bayangkan gaji minimum bagi kebanyakan pekerjaan disini serendah Kina 500 ( Kina ialah matawang bagi papua New Guinea). Bayangkanlah, sebiji kelapa muda dibeli penulis untuk menghilangkan rasa dahaga beharga 6 Kina atau USD 1.74 (RM 7.20)

Aktiviti jualan oleh penduduk tempatan sebelum solat Jumaat


Kami merasa sungguh bertuah dan bermakna kerana pada hari pertama misi ini, kami dapat turut serta dalam majlis pengislaman saudara baru dari kalangan masyarakat tempatan. Kami berpeluang menyaksikan “kembalinya” enam orang saudara baru, iaitu dua remaja dan empat dewasa ke dalam Islam. Majlis pengislaman saudara baru ini diadakan sejurus selepas solat jumaat dan dikendalikan oleh seorang imam yang telah berkhidmat selama 32 tahun di masjid ini, iaitu Imam Mikail Abdul Aziz. Sebaik selesai majlis ini, kami diminta untuk memberikan satu nama Islam bagi saudara muslim ini. Penulis telah mencadangkan nama Salman kepada salah seorang remaja yang baru memeluk Islam, bersempena nama sahabat Rasul S.A.W yag bukan dari keturunan arab yang bijaksana. Harapannya agar saudara baru Muslim ini akan menjadi seorang yang bijaksana dan dapat menyebarkan dakwah Islam dengan lebih luas di negara ini dimasa hadapan. 



Majlis pengislaman saudara baru oleh Imam Mikail Abd Aziz

Penulis bersama Imam Mikail Abdul Aziz yang berasal dari Nigeria.
Beliau sudah 32 tahun berkhidmat di Masjid Hohola ini.

Bagi penulis potensi penerimaan Islam sebagai cara hidup oleh masyarakat tempatan disini semakin meluas. Mereka bersedia berhijrah ke agama yang cintakan kedamaian dan kebenaran. Justeru, sokongan berterusan dari saudara muslim seperti kita untuk memandu mereka amatlah diperlukan. Mereka perlu kepada tunjuk ajar dan contoh baik dari kita agar mereka lebih faham tentang islam. Kita bertanggungjawab untuk memberikan kefahaman yang jelas pada saudara baru kita di Papua New Guinea yang serba kekurangan dari sudut fasiliti atau pembimbing ilmu berkaitan Islam.


Hari pertama kami diakhiri dengan lawatan ke Pusat Dakwah di Bushwara, satu kawasan pinggir bandar Port Moresby. Perjalanan kami yang ditemani oleh En Khalik, seorang rakyat Malaysia yang bekerja lebih 5 tahun disini sebagai  Ketua Pegawai Operasi, PNG Kidney Foundation Inc. Beliau begitu mengambil berat berkenaan perkembangan islam terutamanya di Bushwara ini.  Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk sampai di perkampungan ini yang kebanyakkan penduduknya beragama Islam. Disini juga terdapat sebuat pusat dakwah yang agak uzur, yang menjadi pusat aktiviti muslim yang memerlukan perhatian dari kita di Malaysia. Delegasi kami juga sempat membuat serahan al- quran terjemahan bahasa inggeris kepada En Khalik untuk diedarkan kepada penduduk muslim di Bushwara. 

Pusat Dakwah Bushwara (atau dikenali sebagai Musolla di Malaysia) kelihatan uzur
dan memerlukan perhatian dari kita

Serahan al-Quran terjemahan kepada En Khalik untuk diedarkan kepada
saudara muslim di Bushwara

Alhamdulillah, misi dihari pertama ini mengajar kami tentang indahnya persaudaraan islam, suatu ikatan yang dibina merentasi sempadan negara, warna kulit dan bahasa. Layanan mesra saudara muslim disini yang diterima oleh kami akan disimpan erat sebagai kenangan terindah. Sebelum melabuhkan diri diatas lantai papan rumah tamu yang disediakan, kami membuat sedikit persiapan untuk meneruskan perjalanan kami esok ke Mt Hagen, lokasi utama misi ini yang terletak hampir 500 km dari Port Moresby. Sesungguhnya harga syurga itu bukan murah, ianya memerlukan pengorbanan dari hambaNya. Semoga esok kami dapat meneruskan misi ini demi mencari keredhaanNya.

Selamat Malam!

Gut Nait Port Moresby !










* Penulis, Dr. Mukhtaruddin, merupakan AJK Yayasan ISRA' Malaysia (ISRA') & koordinator Projek Dakwah Papua New Guinea
















Post a Comment

0 Comments