.
[Santai] Ikan Paus pembunuh muncul di perairan Terengganu
KEMUNCULAN sepasang ikan paus berdekatan pelantar minyak Dulang kira-kira 170 kilometer dari pantai Kerteh semalam, direkodkan sebagai yang pertama berlaku di Terengganu.Kehadiran pasangan paus itu berjaya dirakam petugas pelantar berkenaan kira-kira 12 tengah hari.
Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Mohd Tamimi Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan video berdurasi 30 saat yang merakamkan pergerakan paus itu adalah benar.
Menurutnya, ia dikenali sebagai paus pembunuh atau nama saintifiknya, Orcinus orca yang berenang pada kedalaman antara 76 hingga 80 meter dan menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi.
“Berdasarkan rekod di FRI dan Jabatan Perikanan Malaysia, paus itu tidak pernah melalui perairan negeri ini dan tersenarai dalam jadual mamalia marin serta antara spesies terancam di Malaysia,” katanya.
Mohd Tamimi berkata, paus itu dikelaskan dalam kumpulan ikan lumba-lumba namun saiznya lebih besar daripada saiz lumba-lumba biasa.
Katanya, saiz biasa bagi paus dewasa ialah 4.5 meter panjang dan boleh mencapai sehingga lapan meter dengan berat antara 3,000 kilogram (kg) hingga 6,000 kg.
“Jangka hayat paus pembunuh itu antara 50 tahun hingga 80 tahun dan usia kematangan paus betina antara 10 hingga 20 tahun sementara paus jantan pula antara 15 hingga 21 tahun,” katanya.
Menurutnya, paus pembunuh biasanya bergerak dan memburu dalam kumpulan antara dua hingga 50 ekor.
“Paus ini adalah pemangsa utama dalam rantaian pemakanan dan sangat digeruni. Ia memakan ikan, sotong, penyu, burung laut, jerung serta mamalia marin lain antaranya seperti anjing laut, paus dan lumba-lumba,” katanya.
Mohd Tamimi berkata, sesetengah negara yang mempunyai taman tema akuarium laut seperti di The Marineland Antibes Theme Park di Perancis, SeaWorld San Diego California (Amerika Syarikat) dan Seaworld Kamogawa Chiba (Jepun) melatih paus pembunuh itu supaya lebih mesra dengan masyarakat dengan tujuan konservasi, pendidikan dan pertunjukan.
.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/07/476570/paus-pembunuh-muncul-di-perairan-terengganu
0 Comments